Mukadimah
Ini merupakan secebis kisah seorang mat rock yang terlibat secara langsung dalam konsert BOTB di Tapak Pesta Sg. Nibong Pulau Pinang yang telah menyebabkan satu rusuhan besar berlaku di sebabkan sikap segelintir penonton yang tidak berdisiplin. Kesan daripada kejadian ini telah memaksa Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohammad telah mengharamkan konsert rock diadakan secara terbuka. Hal ini telah memberi satu impak yang besar kepada muzik rock tanahair ketika itu.
Di luar tapak konsert
Gua masih ingat tanggal 2hb September 1986, hari Selasa adalah tarikh yang gua tidak dapat lupakan di dalam kamus rockers gua. Pada jam 430 petang gua telah sampai di Tapak Pesta Sungai Nibong. Gua datang dari negeri di utara. Gua dengar ada member-member rockers datang dari luar Pulau Pinang macam Sungai Petani, Parit Buntar, Langkawi, Alor Setar dan Kangar.
Gua ada dengar juga member-member gua line selatan sudah datang ke sini dua hari lebih awal untuk bercuti maklumlah menyambut merdeka pada 31 Ogos dan Grand Prix Pulau Pinang. Gua ada nampak juga mat-mat pendatang tanpa izin (PTI) yang datang dari negara jiran. Cuma gua hairan mereka ini tidak menampakkan mereka adalah PTI apabila mereka mengenakan pakaian rock dengan gaya yang tersendiri.
Ketika pihak ter*sensored*t membuat sound check gua ada di tempat kejadian, gua lihat kakitangan Box office (BO)ada di sana. Gua sempat bertemu dengan boss BO, Papa Ali untuk mengucapkan tahniah atas kedatangan Battle of the Bands (BOTB).
Abang Ali bukan main suka kerana gua dan klik gua adalah manusia yang selalu hadir ke konsert terbitan Ali seperti Konsert Blues Gang, Sweet Charity, Konsert Yamaha Passola, Pesta Budaya dan Konsert FTN.
Pada malam itu pula gua adalah manusia yang pertama sekali berada di pintu masuk. Gua lihat kebanyakan rockers yang hadir adalah berumur lebih kurang 17 tahun ke atas. Gua dapat tahu belia-belia yang tidak bekerja juga ramai datang. Ada seorang manusia itu gua jumpa dan ajak bersembang bahawa dia dan kawan-kawan terpaksa mencari kerja sambilan bagi mencari duit untuk membeli tiket konset ini. Gua respek sama mereka sebab mereka tidak mencuri dan merompak untuk hidup dan survive terutama dalam hal konsert.
Gua lihat tak kurang juga manusia-manusia yang berjawatan tinggi tapi berjiwa rock datang dengan baju matahari dan baju "daun ganja". Perkara ini dibisikkan oleh papa Ali kepada gua. Gua nampak juga pelancong hadir ke sini. Memang hebat betul penangan konsert BOTB.Gua bengkek bila gua nak beli makanan ringan bebudak rockers yang jual itu sudah tutup kedai sebab nak ikut ke konsert. Gua hairan betul. Diaorang cukup fanantik sampai sanggup hilang mata pencarian semalam semata-mata untuk BOTB.
Di dalam tapak konsert
Jam 730 malam pintu besar tapak pesta Sg Nibong dibuka. Gua adalah orang pertama yang mencecah masuk. Gua lihat kaki gualah yang pertama masuk. Gua masuk dengan kaki kanan beb. Gua lihat bebudak semua lari. Gua mulanya jalan terus pecut 100 meter. Gua berada betul-betul tepat di tengah pentas. Gua harap gua dapat usya ratu rock, Ella. Gua harap dia pakai skirt tapi sorry dia rocker pasti pakai seluar. Tak merasa gua nak jeling. Gua tahu Ella masih bergetah lagi.
Mulanya gua ingat ada disediakan kerusi. Rupanya haram. Gua lihat rocker-rocker lain pergi ke satu penjuru untuk mengambil kerusi. Gua tak kisah. Gua suruh member gua tolong ambilkan. Gua nampak pengawal keselamatan cuba halang rocker-rocker ambil kerusi. Mereka tidak pedulikan halangan itu. Pendek kata semua rocker sudah tidak sabar untuk duduk selesa atas kerusi. Gua ingat kalau tiada kerusi tadi gua akan berdiri terpacak selama 2-3 jam. Gua tahu kalau gua bawa awek gua maka gua terpaksa duduk di atas lantai bersila. Gua sudah pesan pada awek gua agar duduk rumah aje sebab perwatakannya yang bersopan dan wajahnya yang cantik dan cun menyebabkan gua risau nak bawanya ke sini. Tak pasal awek gua kena usya dek rockers lain. Kalau rockers lain gua tak kisah nanti rockers di atas nun, Nash ke, Rahim Maarof ke kecuali Ella nak rembat.
Gua lihat jam di tangan gua sudah pukul 815 malam. Gua lihat keadaan sudah penuh sesak. Gua agak manusia berjumlah 5,000 orang. Ketika gua sedang menantikan saat-saat konsert bermula gua lihat ada rockers naik ke pentas. Gua ingat brader itu nak rembat apa rupanya nak tengok peralatan gitar dan drum. Gua ada terfikir nak naik juga tapi gua lihat
pengawal keselamatan sudah berjaya menarik bebudak itu turun. Tak merasa gua nak join sekaki.
Ketika gua mendengar lagu selingan gua terdengar satu suara memanggil nama gua. Gua begitu familiar suara itu. Gua lihat seorang awek berpakaian ketat dan berseluar serta rambut panjang dan berwajah cun datang ke arah gua. Gua tergaman. Mulanya gua tak cam. Kemudian barulah gua cam. Awek gua. Gua hairan macam mana dia boleh tak pakai tudung. Memang jelas perubahan pada dirinya pada malam itu. Gua boleh terima dia datang tapi gua tak boleh terima dia sudah tak pakai tudung. Nafas jantan gua meledak marah. Gua rasa benar tercabar dengan sikap dia.Walaupun gua rockers tapi gua masih lagi memelihara adat ketimuran dan tidak lupa pada soal halal haram. Gua hadiah satu penyepak pada awek gua di depan rockers-rockers lain. Gua nasib baik sebab rockers-rockers lain tak masuk campur dan faham ini masalah rumah tangga gua. Gua lihat awek gua boleh terima "belaian tangan gua". Dia terus berada di pangkuan gua sebagai manusia yang bertanggungjawab menjaganya.
Kemarahan gua sudah reda. Gua ada satu kemusykilan. Gua hairan macam mana dia boleh datang ke sini. Katanya di menumpang lori balak untuk datang ke sini. Gua tanya berapa lama dia sampai ke sini dia kata hampir 6 jam. Gua hairan kenapa lama sangat. Nafas marah makin datang. Gua mula tanya dia adakah mamat driver itu ada berbuat sesuatu. Dia kata tiada apa-apa. Dia hanya duduk di dalam lori dan duduk sebelah driver.
Belum sempat gua nak tanya panjang-panjang ada rocker beritahu gua yang ada wayar dan lampu untuk konsert tidak berfungsi sebab tercabut. Ini bermakna lampu-lampu yang bakal menyerikan suasana akan tidak kelihatan. Gua tak jadi nak soal desak awek gua. Dia berhutang soalan dengan gua.Gua membawanya di hadapan gua. Gua nampak awek gua begitu seronok kerana dapat duduk dekat pentas. Sejurus kemudian gua lihat papa Ali naik pentas dan memohon penonton agar tidak bertindar liar dan menjaga displin. Papa Ali juga sempat merayu rockers agar mereka yang di bahagian depan supaya duduk bagi membolehkan mereka di belakang dapat melihat. Mesej lanun cetak rompak, anti dadah dan lainlain juga sempat dilaungkan.
Gua pasti konsert akan bermula. Gua melihat keadaan sekeliling. Keadaan sudah pulih. Kelihatan ada rockers yang menghisap rokok dan gua tak pasti ada mamat yang menyedut ganja dan dadah lain. Cuma gua lihat bagi yang ada balak dan awek itu tu mereka tidak melepaskan gian dengan berpelukan dan berciuman secara tersembunyi. Gua sebenanrya terperasan kegiatan subversif mereka.
Konsert bermula
Jam 840 malam. Persembahan dimulakan dengan lagu patriotik, Negaraku. Rata-rata rockers menyanyikan lagu indengan penuh semangat dengan bendera Malaysia disuluh oleh lampu. Memang jelas semangat patriotik di kalangan rockers. Selepas itu muzik rock bergema.Gua lihat Rahim Maarof dan bandnya masuk ke pentas. Lagu Rock Warrior dinyanyikan olehnya. Keadaan semakin panas dan riuh rendah. Nampak semua hadirin bersuka ria dengan bunyi dan muzik yang baik dan lampu serta pentas yang memukau.
Gua lihat rocker di sebelah tepi kanan dan kiri nampak ghairah. Mereka terlalu fanatik. Gua pun sepatutnya fanatik tetapi disebabkan awek gua ada sama maka gua terpaksa mengurangkan darjah fanatik gua. Rockers di hujung kiri dan kanan berjoget sakan. Ada yang menghantuk kepala. Head banging.Ada yang sudah tidak sedarkan diri. Gua rasa ini golongan yang baru pertama kali terjun ke konsert rock. Ada 4-5 ekor mamat tu berani naik ke atas pentas. Gua tabik jugalah pada mereka sebab berani giller.
Rahim Maarof & Whitesteel
Rahim Maarof meneruskan lagu "White Lightning". Keadaan menjadi semakin rancak dan panas. Bebudak tadi naik lagi ke pentas. Pengawal keselamatan terpaksa berkerja keras membawa turun tapi tak diendahkan oleh mereka. Ada sekali tu gua lihat bebudak itu menghulurkan tangan dan disambut oleh Rahim. Ada sekor mamat tu macam nak tarik dia ke bawah. Mujur tak berjaya. Gua lihat ada juga yang naik ke atas pentas yang tinggi cuma 5 kaki untuk memeluk, mencium dan memegang rockers-rockers di atas pentas.
Gua lihat Rahim nampak relax aje dengan karenah 4-7 orang rocker yang naik ke pentas. Cuma apabila sudah ramai naik nampak Rahim tidak selesa. Rahim kemudiannya merayu kepada penonton agar jangan menaiki pentas, duduk diam, berdisplin dan tak buat kecoh. Rayuan Rahim ini menyebabkan rocker di hujung kiri dan kanan pentas senyap.
Rahim kemudiannya menyanyikan lagu Jumpa Sekali Lagi. Ini lagu favorite gua. Gua memang minat habis lagu ini. Gua menyanyi sama. Awek gua pun terkumat kamit mulutnya. Semua rocker menyanyikan lagu popular ini. Gua lihat rocker Rahim suka dengan situasi ini.
Rahim dan Whitesteel bijak memilih lagu slow setelah dia bantal dua lagu rancak. Semua rockers tangkap syahdu dan mula reda darjah fanatik mereka. Gua pun tangkap leleh sama awek gua. Rahim & bands memang pukul habis malam itu. Dia rembat lagi dua lagu dan keseluruhannya 5 buah lagu dan kebanyakanya heavy metal. Memang hebat persembahan Rahim malam itu dan berjaya memuaskan hati penonton termasuk gua.
Kumpulan SYJ
Selepas itu Rahim menjemput kumpulan favorite gua yang kebanyakan member-member gua juga iaitu kumpulan SYJ. Semua rocker menjerit nama SYJ. Gua pun sama sampai suara gua hilang. Amir penyanyi utama keluar dan memberi salam. Dia sempat memberi khutbah tentang pembelian kaset dan berterima kasih. Amir bijak berinteraksi dengan penonton. Dia berjaya membawa suasana hingar di dalam percakapannya sampai rockers lain pun sama-sama menjerit menjawab soalannya.
SYJ memulakan lagu heavy iaitu Hati Syaitan. Suasana kembali panas. Penonton kembali histeria. Semua head banging dan berjoget-joget. Rockers fanatik yang berada di hujung kiri dan kanan pentas kembali buat kacau. Mereka cuba mengulangi sifat tadi. Pengawal keselamatan cuba menarik, menangkap dan mengusir mereka. Nampak bebudak tu tak makan saman dan macam dah tak sedar diri.
Amir meneruskan lagu kumpulan Iron Maiden. Penonton semakin ghairan. Rockers tadi semakin hilang pertimbangan. Pegawal keselamatan sekali lagi menangkap mereka. Akhirnya keadaan tidak terkawal.
Pihak pengurusan konsert terpaksa mengetatkan keselamatan pentas dengan meletakkan 15-20 pegawal di kawasan pentas bagi menyekat kemarahan peminat yang fanatik tadi. Kesannya rockers yang innocence lain mula marah atas tindakan ini.
Persembahan diteruskan dengan pandangan dihalang dengan kehadiran pengawal keselamatan. Bayangkanlah rockers Amir terpaksa menyanyi di celah-celah pegawai keselamatan.
Gua yang duduk di kawasan tengah juga terhalang pandangan. Semua orang sudah mula marah. Gua lihat kotak-kotak rokok, beg plastik, batu dan sampah singgah ke pentas. Ada seketul batu nyaris terkena kepala member gua di sebelah.
Sementara itu pengawal keselamatan yang terpacak di atas dan kawasan pentas hanya mampu bertahan dan berdiri menerima kehadiran barang-barang istimewa. Kesannya yang tak baik adalah pada gua yang berada di hadapan. Gua terpaksa mengelak juga barang-barang itu. Gua lihat Papa Ali seolah menasihatkan pihak berkenaan agar tidak menghalang pandangan penonton dan menyuruh mereka berada di kawasan berhadapan dengan penonton daripada berada di kawasan pentas. Nampak pihak berkenaan bersetuju.
Amir meneruskan konsert dengan lagu Orang Timur sambil diiringi dengan bendera. Gua tabik sama SYJ sebab ada semangat nasionalisme. Gua tahu hari merdeka baru dua hari berlalu maka semangat itu agar menebal. Gua tahu SYJ memang selalu menerapkan semangat nasionalisme dalam persembahan mereka.
Keadaan semakin panas. Tarian joget dan head banging masih diteruskan. Ada yang menggunakan kerusi sebagai bahan tarian dan bukan untuk diduduk. Gua risau melihat keadaan ini. Gua rasa nanti ada kerusi yang melayang.
Tiba-tiba gua terdengar bunyi kerusi yang kuat. Benarlah firasat gua. Rupanya ada orang membaling kerusi ke arah pegawai keselamatan. Keadaan tidak terkawal. Penonton pun sudah mula panik dan bangkit. Kerusi mula berselerak. Kerusi yang melayang itu tadi tidak kena pada sesiapa pun. Nasib baik. Gua nampak kerusi itu terkena pada gitaris SYJ. Gitarnya patah.
Suasana jadi panik. Nampak SYJ macam terkejut dengan keadaan yang tidak disangka. Gua lihat SYJ masih meneruskan persembahan walaupun patah sayap. Keadaan penonton masih lagi fanatik.
Lontaran batu dan plastik masih berterbangan. Tiba-tiba ada beg plastik singgah tepat di kepala awek gua dan tempias pada gua. Gua dan awek gua basah. Nasib baik gua ada bawa sapu tangan (key), gua pun lapkan pada awek gua.
Tiba-tiba gua lihat di leher awek gua ada kesan gigitan cinta. Gua naik berang. Gua kena berpisah dengan member rock gua. Gua terus membawa awek gua keluar dari kawasan sesak itu. Dalam perjalan keluar gua lihat memang kerusi sudah berselerak.
Sejurus kemudian Ali datang dan mengarahkan konsert diberhentikan 10 minit.Pada masa ini Ali memberi amanat dan mengarahkan peminat untuk mengosongkan ruang di antara penonton dan pentas sebanyak 15 kaki. Pihak keselamatan Polis FRU turut turun mengarahkan orang berundur.
Gua membawa awek gua di satu sudut. Gua sudah tidak hairan dengan konsert ini lagi. Kisah gitaris SYJ tidak penting. Kisah penonton fanatik tidak penting. Kisah dunia rock sudah tidak bermakna lagi. Gua sudah lupakan konsep rock tulen apabila gua berhadapan dengan awek.
Gua tahu rockers tetap rockers. Awek tetap awek. Gua terus soal desak awek di satu sudut. Lama gua menantikan jawapan. Dia masih berkeras. Gua lihat konsert sudah bersambung. Tempat strategik gua tinggal kenangan di malam ini.
Awek gua enggan menceritakan hal sebenarnya. Gua terpaksa pendam hasrat ini dulu sebab gua lihat ada rockers-rockers badan sasa gitu asyik memerhatikan gua. Gua syak itu pemandu lori balak. Gua syak aje. Gua kena cool down sebab faktor keselamatan.
Gua dan awek gua menonton konsert dari jauh. Feel konsert sudah lari apabila mengenangkan love bite di leher awek gua. Gua setakat mendengar lagu sahaja sebab pandangan memang terhalang.
Rusuhan bermula
Gua lihat keadaan kembali tegang. Perangai pelesit tadi masih berleluasa. Mereka naik pentas berulang kali. Mereka fanatik. Berjoget sakan. Gua rasa keadaan tadi akan berulang. Nampak sudah tidak terkawal.
Gua rasa ledakan dan rusuhan akan bermula. Gua lantas keluar dari kawasan itu bersama awek gua sebab gua rasa satu yang buruk akan berlaku.
Gua lepak dengan awek gua di kawasan luar. Gua tenang melayan awek gua walaupun di hati gua membara dengan kisahnya. Gua berjaya menjadi seorang rockers yang sabar.
Masa berlalu begitu pantas. Tiba-tiba gua dengar satu bunyi yang amat riuh. Bunyi orang ramai merusuh. Gua lihat ada yang berlari ke luar serta merta. Keadaan macam peperangan di luar negeri.
Gua bersama awek gua terpacak di kawasan selamat sambil memerhatikan keadaan yang berlaku. Gua memang tidak tahu apa yang berlaku di dalam tadi sampaikan boleh terjadi begini. Gua syak semuanya berpunca daripada mamat fanatik tadi.
Keluar dari tapak konsert
Apabila keadaan reda dan tenang. Gua terus keluar dari kawasan tapak pesta. Gua memang tak jumpa member gua tadi. Mungkin mereka tersesat kat mana. Gua membawa awek gua ke dalam kereta mitsubishi colt gua. Gua slow talk dengan dia.
Gua minta izinnya untuk melihat kawasan yang gua dakwa sebagai gigitan cinta. Gua lihat ada kesan darah bergaris. Gua bertanya kepadanya. Dia dengan tenang berkata itu bahawa dia terlanggar paku yang berada di
dinding lori tadi.
Gua nampak kebenarannya. Awek gua marahkan gua pula sebab cemburu buta. Dia mempersoalkan macam mana gua boleh kenal love bite dalam keadaan lampu konsert yang berbalam-balam. Gua tersenyum.
Oleh kerana itulah dia tidak mahu memberi jawapan semasa gua soal desaknya tadi sebab dia tidak mahu spoilkan suasana konsert. Tambahan dia pun minat konsert dan dunia rockers. Gua rasa bersalah pula kerana mendesaknya sedangkan dia buat untuk kebaikan gua juga.
Awek gua mula sangsi berkenaan love bite. Dia bertanya kepada gua macam mana gua tahu rupa love bite. Dia mula mempersoalkan tentang kejujuran gua. Gua panik. Satu penampar hinggap ke pipi gua. Nampaknya kedudukan 1-1. Gua merasa juga penampar manjanya. Dia pula cemburu buta.
Gua dan dia berhenti membangkitkan soalan-soalan provokasi. Gua memandu laju dan membelah jalan raya untuk pulang ke kampung halaman. Gua terpaksa kansel rancangan awal. Pada mulanya gua bercadang untuk menginap di rumah member di Penang ini. Namun demikian demi awek gua ini maka gua tak sanggup pula melepak di situ. Nanti awek gua jadi ration pulak.
Dalam perjalanan pulang syaitan ala black metal ada berbisik di telinga agar gua berbuat sesuatu dengan insan di sebelah itu. Dengan iman yang kuat dan menyahut seruan rocker tulen bersih daripada seks, dadah, arah dan gejala sosial maka awek gua itu selamat sampai ke rumahnya.
Tiba di rumah
Apabila sampai di rumahnya satu penampar hinggap lagi di pipi gua. Ayah awek gua tanpa usul periksa terus beri hadiah tangannya. Awek gua terpaksa menjelaskan keadaan bahawa gua ini innocence.
Satu penampar hinggap di pipi awek gua. Kesudahannya gua dan dia kena dua penampar pada pagi buta ini dan semalam. Ayah awek gua menasihatkan gua agar segera kahwin bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk.
Gua kemudiannya balik ke rumah gua. Gua lihat papa dan mama gua dah cantik lentok. Gua rasa lega kalau tidak gua rasa datang satu lagi penampar. Apa pun papa dan mama gua sporting dan merekalah yang telah membenarkan gua pergi asalkan tahu jaga diri.
Gua pulang keletihan. Gua melayan lagu-lagu BOTB. Gua tertidur apabila gua selesai mendengar lagu tema "Hapuskan Lanun Cetak Rompak".
Moral kejadian
Moral cerita gua ialah kalau lu orang pergi konsert rock janganlah bawa awek bersama. Banyak kesannya kalau lu orang bawa terutamanya kalau berlaku kekecohan dan suasana tegang. Awek lu orang boleh mati terpijak tak pasal-pasal lu kehilangan insan disayangi.
Macam gua, gua memang tidak bawa awek gua bersama tetapi dia pula degil untuk datang. Cuma kedatangannya bersebab sebab didatangkan oleh Allah SWT untuk mengelakkan diri gua daripada menjadi mangsa rusuhan, tolak
menolak, pijak memijak dalam konsert di tapak pesta.
Gua bernasib baik sebab tidak menjadi mangsa keadaan. Kalau tidak gua tak tahu apa jadi dengan gua malam itu. Member gua yang berada di tempat kejadian luka-luka anggota mereka akibat daripada balingan, batu dan
kerusi. Gua ada dengar khabar angin yang ada seorang rockers itu kehilangan cuping telinga angkara digigit oleh aweknya sebab khayalan dan fanatik pada malam itu. Seorang minah rockers pula hidungnya berlubang sebab tertikam besi halus. Akhirnya awek itu sekarang dah pakai nandek di hidungnya, nasib baik tak tertusuk di pusat!
Kenangan
Itulah secebis kenangan gua di salah satu konsert yang pernah mencetuskan kontroversi di Malaysia pada 1986 ketika demam ROCK mula hendak memuncak. Buat generasi baru yang mula meminati muzik rock jagalah adab dan sopan ketika konsert. Kawallah diri dan jangan hilang pertimbangan.. Jauhi amalan minuman arak, gejala dadah, gejala seks dan gejala sosial. Jangan jadikan muzik khususnya muzik rock sebagai mangsa akibat daripada perlakuan kita.
Harapan penulis
Marilah martabatkan muzik rock di Malaysia. Majukan lagu rock dengan lirik-lirik berunsurkan positif dan berunsurkan patriotik.
CADANGAN Gua harap lu sebagai pelopor muzik rock cintan agar dapat membanyakkan lagu-lagu rock tempatan sama ada rock leleh dan rock kental yang pernah wujud di zaman kebangkitan rock sekitar 1985-1988.
Gua mahu lu carikan lagu-lagu daripada BOTB 1 dan II yang pernah mengegarkan dunia rock dulu. Gua cadangkan lagu-lagu ini menjadi teras kepada web site lu. Lu kena ingat kumpulan-kumpulan ini adalah gergasi dan pelopor kepada kebangkitan dunia rock secara berkelompok.
Gua memang kagum dengan kelompok yang wujud kerana ia menambahkan koleksi kumpulan rock dan satu usaha murni agar muzik rock dipelbagaikan berbanding dengan kemunculan kumpulan rock secara solo.
Battle Of The Bands
Kumpulan yang gua maksudkan seperti SYJ, Lefthanded, Bloodshed, Rahim Maarof & Whitesteel dan Ella & The Boys. Gua amat respek dengan gagasan-gagasan rock yang pernah wujud kerana di situlah tapak permulaan dan pertemuan rockers dalam membawa panji kebangkitan dunia rockers.
Lagu-lagu yang mesti masuk dalam lu punya web sitegua cadangkan Orang Timur, Hati, Syaitan, Mata Sepet, Teruskan (SYJ), Nostalgia Rindu, Hidup Pemuzik, Manusia Dan Janji, Debu Khayalan (Bloodshed), Jumpa Sekali Lagi, Sengketa, Hanya Dalam Mimpi, Kejahilan (Rahim Maarof & Whitesteel), Debunga Wangi, Lanun, Kenangan Bersamamu, Tuduhan
(Lefthanded), Cinta Berakhir, Dua Insan Bercinta, Ulat Bulu, Hanya Secebis Jawapan (Ella & The Boys) dan Hapuskan Lanun Cetak Rompak
Juara – Juara Rock
Gagasan yang pernah mekar yang amat dihormati ialah gagasan Juara-Juara Rock yang menampilkan MAY, Scandals, Burnmarks, Metalian, D'Febians yang berjaya menonjolkan pelbagai lagu-lagu rock berat seperti Peperangan, Roda Penghidupan, Bukan Untuk Selamanya (D'Febians), Kuasa, Kuasa II, Gadis Kota (Scandals), Kabus, Gerimis Rindu, Aku Dengan Caraku (Metalian), Pemuzik Muda, Derita Bangsa, Gadis Misteri (MAY) dan Makan Hati Ulam Jantung, Insaflah, Snooker (Burnmarks)
Manakala lagu slow seperti lagu Kembalilah Semula, Bayangan Hidup, Skestsa Sebuah Cinta (MAY), Secebis Rayuan, Penantian Sepi, Galeri Kasih (Burnmarks), Rindu, Musnahlah Sebuah Cinta, Penantian Yang Tak Pasti (Scandals), Cinta Pertama, Kehilangan, Kenangan Abadi (D'Febians) dan Tetap Di Sini, Segala Untukmu, Biarkan Aku Sendiri (Metalian)
Clash Of The Bands
Gagasan-gagasan lain yang pernah wujud seperti Clash Of The Bands yang menampilkan TZ, Handy Black, Trashed,Last Minute, Helter Skelter juga turut memeriahkan dunia rock seperti lagu Pemuzik Jalanan, Mencari Kedamaian (TZ), Tiada Lagi Air Mata Pengalaman Hidup(Helter Skelter), Antara Syurga Dan Neraka, Tunggukan Kepulanganku (Last Minute), Gelisah,Angkara (Trashed) dan Mimpi, Ketenangan (Handy Black).
Lain-lain lagu seperti Melissa, Secebis Cahaya, Kesedaran Yang Terlewat, Bakti Satria, Akhir Cinta Pertama (Helter Skelter) dan Erti Cinta, Kau Ku Sayangi, Peperangan. Cinta Berdarah, Wajah Bagai Pelangi (Last Minute)
War Rock
Selain itu gagasan War Rock juga pernah mengegarkan dunia rock dengan warisan-warisan rock mulai War Rock 1 hingga 3. Ianya melahirkan kumpulan Pratayuda iaitu vokalisnya ialah rocker Hattan, Medicine, The Kids yang anggotanya terdri daripada Kama dan Mohalim (anggota Iklim) dan Midnight yang menampilkan Umarul sebagai gitaris. Lagu-lagu mereka seperti Tangisan, Sengsara Timur Tengah, Kesucian Abadi (Pratayuda), Diderai Kerinduan,Ingatlah, Bantulah Aku (Medicine), Ketenangan hidup, Siapa Dia (The Kids) dan Dunia Materialistik, Kesepian (Midnight)
War Rock 2 pula melahirkan kumpulan Stroyer, Dewanga, Kejora dan BC Rockers. Lagu-lagu mereka seperti Malaya, Hilang Keindahan Cinta, Pemusnah (Stoyer), Di Perhentian Cinta,Wujudnya Kekasih, Palestin (Dewangga) Mercu Jaya , Cinta Palsu (BC Rockers) dan lagu Seruan Damai, Mencari Mimpi (Kejora)
War Rock 3 pula melahirkan kumpulan Cakrawala, Mentari, Spring's dan Eyes' Killers serta menampilan lagu-lagu rock seperti Kehidupan, Perisai Bangsa, Dibuai kasih, Harapan (Cakrawala), Keinsafan, Hentikan, Mistri Mahligai Cinta (Mentari), Hanya Untukmu, Mencari Cahaya (Spring's) dan Pejuang (Eyes' Killers)
Batu-Batu Perjuangan
Gagasan Batu-Batu Perjuangan pula menampilan kumpulan Sallam, Nuzzantara, Garhana, Firestarter dan Figures. Lagu yang menarik dan hits seperti Rebah Di Pinggir Mimpi, Kemarau (Figures), Butiran Cinta Yang Hilang, Perjuangan (Firestarter), Hati, Harapan (Garhana), D�j� Vu, Suaru Ulit (Nuzzantara) dan Permainan.Hidup, Maaf Aku Yang Terlambat (Sallam).
Hikayat Rok
Gagasan Hikayat Rok produk papa Ali pula menampilkan kumpulan Angel Hearts, Saxo, Steeler, Trooper, Hydra, D'Riyadh, Rhythm Machine, ASK, Laser Raya, Sweet Inspiration dan kumpulan Kayangan. Lagu-lagu yang pernah terhasil seperti Ku Kehilanganmu, Hanya Hiburan, Pancakara Di Cakerwala, Potret Masa Silam (Angel Hearts/Kayangan) Perjuangan, Dunia Atau Neraka (Saxo) dan Senja Merah, Selembut Sutera (Steeler). Lagu-lagu lain pula seperti Impian Tercinta, Palestin(Trooper), Rintihan Kasih, Ilusi Fenomena Cinta(Hydra), Dunia Perhitungan, Melodi Cinta Lama (D'Riyadh), Pendusta, Salam Rindu (Rhythm Machine), Perjalanan Hidupku, Angkara Manusia (ASK), Hanya Kenangan, Pancaran Laser (Laser Ray) dan Rintihan (Sweet Inspiration)
Era Rock 1988
Sebenarnya banyak lagi gagasan album rock yang pernah wujud selepas 1988 iaitu selepas gua bersara daripada dunia muzik rock. Gua minta maaf kerana gua tak sempat hendak tulis di sini. Gua merasakan lu sebagai master lagu-lagu rock dan pejuang rock agar berinisiatif dengan penuh dedikasi bagi menambahkan koleksi lagu-lagu rock tempatan yang pernah wujud zaman dulu.
Akhirkata gua kagum dengan usaha lu sebagai pelopor dunia rock khususnya rock cinta. Gua harap lu boleh kembangkan lagi sayap lu agar laman web ini menjadi tempat rujuk rockers-rockers seluruh dunia di dalam melihat kemajuan lagu rock tempatan.
Gua hendak dedikasi dan tribute gua kepada nama-nama kumpulan rock yang di sebutkan di atas tadi dan nama kumpulan rock di bawah yang pernah wujud di dalam dunia rock sekitar 1985-1988, 89 dan seterusnya sama ada pernah membuat album mahupun tidak.
Kehadiran kumpulan-kumpulan ini wajar dihormati oleh para rockers yang mencintai dunia rock tempatan. Gua mohon maaf kalau gua tertinggal nama-nama kumpulan lain. Search, Rusty Blade, Bumiputra Rockers, Wings, Sofea, Belantara, Gersang, Junction, Urgent, Wizards, Lovehunter, Lovingborn, Desire (D'Zai), FF, D'Episodes, Misteri, Rockers, Putra, Zodiak, Crossfire, Penyengat, Cinema, Tragedy (XPDC), Fantasia, Deserter (TEJA), A*sensored*l/Bil, Shima & The Boys, Chapter, U-Tophia, Rajawali, Metafora, CRK. FRU, Ikrar, Wild Age, Viking, Sahara, Fotograf,Odyssey,Bahtera,Kafilah, Projek ,Satira, Naja, Legenda, Kejora, Halilintar, GAMMA, Kalahari, Hidayu, Blackhsed, Laksamana, Black Rose,Melissa, Meditasi, Lela, Aryan, Jati, Jitu, Spring,Wicitra, Kerabat, Positif, WOW, Mega,Taufan, Gerimis,Ekamatra, She Rock. Qiara, Mutiara, Dinamik, Orkid, Shine, Panji, Sejati, Lestari, Sensasi, Keno, Leon, Vagrant, Justice, Garuda, Hatty, Menara, UG14, Olan, Kris, Gravity, Get, Rahmat, Erat, Axthara, Ukays, Samudera, Mercury, SOS, ODC, Rio, Arena, Easy, East, Erat, Stra-t-g. Teacher's Pet, Misi, Sera, Analisa, Damasutra, Data, Stings, Arrow, Warisan, Storm, Fareheit, Success, Legacy, Stangers, Slash, Dayana, Uks, Dreams, Deja-Vu,Eye, Visa, Exist/s,kulit, Ax's, Umbrella, Iklim, Terra Rosa, Slam, Solution, Sweet Child, Guest, X-ray, B&W, Yess, Utama, Versi, Guys, Tropika, Satria, Arowana, Kita. Kamikazie, Def-Gab-C, Double Line, Espiranza, Spiranza, Perdana, Why, Real XPDC, Scoin, Screen, Spin, S��banyak lagi.
Band 1988 seperti Rescue, H20, Witness dan Blackfire. Band yang pernah bertanding di Juara Kumpulan Muzik Tenggara 88 seperti Aces, Cold Blood, Alygier, Bee Tee Five Rockers, Scarecrow (MASA), Distinasi, M.M.M dan kumpulan seperti Eyes' Killers, Spring's, Mentari.
Rock Galactica
Band yang pernah bertanding di Juara Rock Galactica pula seperti Script, Suria, Heartbeat, Striker, Warisan Rockers, The Sphinx, Girls Pet, Crystal, sampler, Pusaka, Bentara, Thunder, Reinforcement, Satria, Grasp, Nurse, Sphera, Kakara, Lips, Lipan Bara, Black Rose, Waris, Inspirasi, Ila's, Headline, Vivan, Melisa, Rattle, E-Rod, X-Q's.
Semangat jiwa Rock
Gua rasa amat wajar bagi semua peminat dan pencinta muzik rock tempatan mengembeling tenang untuk membuat reunion tentang sejarah kumpulan rock silam. Di situ kita boleh mengumpul nama-nama kumpulan rock yang pernah muncul terutama yang merakamkan album dan membuat riwayat rock mereka.
Selepas itu kita boleh menghubungi mereka dan bertanyakan tentang kegiatan mereka pada masa kini iaitu selepas mereka bersara daripada arena rock. Gua rasa usaha-usaha ini adalah baik dan wajar dibukukan bagi tujuan rujukan pada masa hadapan khususnya bagi dunia rock itu sendiri.
Gua berpendapat jika sesebuah kumpulan itu pernah merasa masuk studio, menyanyi dan main muzik serta merasa menjadi artis (walaupun album tidak laku, tidak dapat sambutan)maka sekurang-kurangnya kumpulan tersebut ada dan telah menyumbang kepada dunia rock itu sendiri. Mereka tetap akan terpahat di dalam lipatan sejarah dan tergolong nama sebagai pejuang rock serta wajar dinobatkan sebagai lagenda rock.
Penutup
Lastly, mutiara kata daripada gua, "walau pun kehidupan insan marhain sebagai pencuci kain menggunakan peluntur clorox, jauh di sudut hatinya bahawa tiada batasnya pengguna Clorox dan muzik rock. Muzik rock akan sentiasa kental di hati pejuang clorox dan pejuang rock, wajarlah rock itu terus hidup, rock tetap rock!
nukilan lee cooper
2 ulasan:
Rock will never die, Brader!!!
Salam tuan empunya blog. Mohon dapat hubungi/whatsapp saya sesegera mungkin. Ada perkara yang ingin saya bualkan mengenai Kisah BOTB Sg Nibong ini.
Terima kasih
Profesor Madya Dr Takiyuddin Ismail
UKM
019-2060568.
Catat Ulasan