SOFEA... Amir (dua
dari kiri) bersama-sama anggota kumpulan Sofea yang kini aktif semula dalam
persada muzik rock tanah air.
Amir merupakan salah seorang anggota asal Sofea yang masih
bersemangat mengadakan persembahan bersama Sofea biarpun kumpulan itu kali
terakhir muncul dengan album kelima mereka berjudul Mimpi & Airmata
pada 1992.
Malah, vokalis berusia 50 tahun ini juga tidak patah semangat
biarpun mata kirinya buta selepas terbabit dalam kemalangan jalanraya pada 2009
di Ulu Bernam, Selangor dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.
Menurut Amir, kecacatan yang dialami itu turut tidak menghalangnya
menerima undangan mengadakan konsert di merata-rata tempat, apatah lagi ramai
peminat Sofea yang mahukan kumpulannya itu aktif dalam muzik seperti dulu.
"Ramai peminat yang mahukan Sofea mengadakan konsert dan
merakamkan album seperti dulu. Walaupun hakikatnya kami telah berpecah lebih 15
tahun lalu tetapi sokongan itu sedikit sebanyak telah menaikkan semangat kami.
"Sebab itulah, kami telah kembali mengadakan beberapa
persembahan termasuklah menjadi artis undangan pada konsert kumpulan Loudness
dari Jepun di KL Life pada 27 Julai tahun lalu," katanya kepada S3.
Pada pertemuan sewaktu Konsert Raja Pop Jamal Abdillah di Stadium
Indera Mulia, Ipoh itu, jelas Amir atau nama sebenarnya Amirrudin Zulkefly,
biarpun kebanyakan anggota Sofea mencecah usia awal 50-an, tetapi mereka masih
bersemangat bermain muzik.
Bapa kepada tujuh anak ini berkata, sejak terbabit dalam kemalangan
jalan raya pada 2009, dia tidak menghadapi banyak masalah untuk menyanyi
semula, sebaliknya undangan mengadakan persembahan semakin banyak sejak
akhir-akhir ini.
"Kemalangan itu berlaku pada 24 Oktober 2009 di kawasan
Hentian Rehat & Rawat Ulu Bernam dalam kereta yang dipandu oleh seorang
kawan di mana ia turut disertai tiga lagi kawan saya yang lain.
"Akibat kemalangan itu, mata saya telah tertusuk kaca sehingga
menjadi buta. Sekarang ini, saya masih menyanyi bersama Sofea tetapi setiap
kali muncul di pentas, saya mesti memakai cermin mata hitam.
"Sekarang ramai yang bertanyakan Sofea dan menjemput kami
mengadakan konsert di mana yang terbaru, mungkin akan diadakan pada 24 Februari
ini di Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar bersama kumpulan May," ujarnya.
Sofea yang pernah mendapat jolokan 'Motley Crue Malaysia' juga
sukar dilupakan oleh banyak syarikat rakaman yang masih berminat untuk
menerbitkan album baru selepas 20 tahun mereka tidak muncul dengan sebarang
lagu mahupun album baru.
Selain Amir, Sofea yang kini dianggotai oleh Man Rani (bass), Yus
(dram) dan Sham (gitar) sedang menimbangkan beberapa tawaran merakamkan album
daripada beberapa syarikat rakaman tempatan.
"Antaranya Suria Records yang berminat mahu menerbitkan album
terbaru Sofea. Cuma masalahnya, mereka mahu kami merakamkan semula lagu-lagu
popular SYJ dan Sofea dalam nafas yang baru, menerusi sebuah album kompilasi.
"Kami sedang mempertimbangkan tawaran itu kerana kalau boleh
biarlah selepas 20 tahun tidak aktif, kami muncul dengan album baru. Ramai
peminat tentunya menantikan lagu-lagu terbaru kami," jelasnya penuh
harapan.
Kumpulan yang pernah popular dengan lagu seperti Debu Khayalan,
Hujan, Kembali dan Anak Liar ini tidak menolak permintaan jika para
peminat mahukan mereka tampil dengan imej SYJ yang agresif seperti pada era
tahun-tahun 1980-an.
Bagaimanapun, Sofea atau SYJ yang mula diperkenalkan dalam album
kompilasi dan konsert bergerak Battle of the Bands pada tahun 1985
mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan dua anggota baru mereka
itu.
"Sekarang ini, hanya saya dan Man Rani sahaja anggota asal
Sofea. Pemain dram asal kami iaitu Syed Eduat telah meninggal dunia, manakala
Zam (gitar) pula sudah menarik diri. Sementara Sham dan Yus pula adalah anggota
baru Sofea.
"Jadi, kami perlu menyesuaikan diri dengan dua anggota baru
kami itu sebelum Sofea mampu untuk kembali dengan imej lama yang ala-ala Motley
Crue yang agak agresif. Ia bagi memenuhi permintaan peminat yang suka dengan
imej kami itu," katanya.
Sepanjang bersama Sofea, Amir yang merupakan anak sulung daripada
tiga beradik itu telah merakamkan lima buah album berjudul Kembali
(1987), Anak Liar (1988), Boneka Pentas (1989), Khudrat
(1990) dan Mimpi & Airmata (1992).
Sumber-> Utusan Malaysia/Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan